Awal Januari 2009 ada aktiviti tahunan mencuci rentis Gunung Tahan. Saya tidak pasti tarikh yang tepat. Saudara dan saudari yang berminat mungkin boleh bertanya kepada mereka yang sepatutnya.
Saya masih ingat pengalaman mendaki Tahan sebanyak 5 kali. Ia ternyata gunung yang betul-betul membuatkan saya rasa sangat menghargai rekreasi dan seluruh pengalaman semasa melaluinya.
Sepatutnya saya mula mendaki Gunung Tahan dalam satu program kerjasama dengan PERHILITAN Perlis semasa masih bersekolah menengah. Tapi sayang selepas dana yang diperlukan mencukupi, saya telah dipilih mewakili pasukan ragbi bawah-18 negeri untuk Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia yang diadakan di Shah Pekan, Pahang pada tahun 1999.
Saya terpaksa dikeluarkan daripada senarai peserta (saya mewakili Persatuan Kadet Bersatu Malaysia waktu itu) kerana tidak dapat menghadiri latihan dan juga kursus wajib selama 3 hari 2 malam di PERHILITAN kerana mengikut jadual, saya masih berada di Shah Pekan dan Kejohanan hanya tamat pada hari yang sama mereka mula tiba di Merapoh.
Saya mengikut RECCANS, Kelab Rekreasi dari Kolej Canselor waktu itu sebaik saja pulang dari Kursus Standard 25 hari di Outward Bound (SC455). Pada waktu itu Dr. Azlizam juga ikut serta bersama Talang dan Tunggong (senior K3) kerana urusan pengambilan data. Memandangkan saya agak fit kerana baru pulang dari Kursus Standard, maka tidak sukar untuk saya mengikut tempo pendakian. Mendaki dari Merapoh ke Kuala Tahan ternyata satu pengalaman yang sangat menarik. Ada pengajaran penting di sana dari hal berkasut kerana seorang daripada peserta tercabut kukunya kerana tersepak akar semasa hari pertama program!
Tidak lama selepas pendakian pertama ini, Dr. Azlizam mengajak saya ikut serta bersama kursus Eko-Pelancongan mendaki lagi. Menurut para senior, saya boleh dikira sangat bertuah kerana dapat mengikut pendakian ini kerana sangat jarang junior seperti saya diberi peluang sebegini.
Entah kenapa, tanpa sedar, 3 pendakian pertama saya ke Gunung Tahan adalah bersama Dr. Azlizam. Sekali ikut serta bersama kami ialah Pakcik Baharom dan sekali Encik Abbas di mana kami tiba di Kuala Tahan pada pukul 4 pagi!
Sebenarnya dalam aspek mendaki ini, terlalu banyak risiko yang boleh kita bincangkan. Selain daripada itu, saya kira kajian popular di fakulti tentunya berkaitan impak terhadap pelbagai aspek. Kajian Ihsan pernah diiktiraf sebagai salah satu daripada pembentangan terbaik pada tahun 2003/2004 jika saya tidak silap.
Gunung sebagai sumber rekreasi sebenarnya menyimpan banyak rahsia tentang kehidupan dan interaksi manusia sesama manusia dan manusia dengan alam sekitar. Saya berharap dapat menyudahkan G7 saya sebelum umur 30. InsyaAllah, saya berhasrat membukukan semua pengalaman saya satu hari nanti.